In Personam: Hak-Hak Individu Apabila Ditahan Oleh Polis Hak-Hak Individu Apabila Ditahan Oleh Polis | In Personam

In Personam


oleh Jeremy Vinesh Anthony
diterbitkan pada January 10, 2017

Hak-Hak Individu Apabila Ditahan Oleh Polis

Hak-hak/undang-undang yang terpakai apabila seseorang individu di Malaysia ditahan oleh pihak polis.


Para pembaca mesti pernah menonton filem-filem polis Hollywood.

Kebiasaannya, apabila seseorang suspek itu ditahan polis, pihak polis akan membacakan hak-hak yang diperuntukkan kepada individu tersebut. (Pembacaan itu sebenarnya dikenali sebagai ‘amaran Miranda’.)

Namun itu di Amerika Syarikat. Apa pula hak-hak yang diperuntukkan kepada seseorang individu di Malaysia apabila ia ditahan polis? Secara ringkasnya:

  • Di tanahair, isu kebebasan (‘liberty’) individu termaktub di bawah undang-undang tertinggi, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

  • Prosedur jenayah pula termaktub di bawah kod yang bergelar ‘Kanun Tatacara Jenayah’.

  • Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa individu yang ditahan hendaklah dikemukakan ke hadapan majistret Mahkamah dalam tempoh masa 24 jam. Kelengahan tidak munasabah tidak akan diterima. Individu itu tidak boleh ditahan lebih lama dari 24 jam tanpa kebenaran majistret, meskipun ia ditangkap pada hujung minggu ataupun hari cuti, dan tempoh masa ini juga termasuk masa perjalanan yang perlu.

  • Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa individu yang ditahan oleh polis berhak untuk dimaklumkan, seberapa segera yang boleh, sebab-sebab mengapa beliau ditahan. Namun pihak polis tidak perlu berbuat sedemikian jika:

    • individu itu sepatutnya tahu mengapa ia ditahan - contohnya apabila ditahan dalam proses mencuri; dan

    • individu itu sendiri yang menyukarkan usaha pihak polis untuk memaklumkan sebab-sebab, contohnya apabila individu itu melarikan diri atau menyerang pihak polis.

  • Selanjutnya, Kanun Tatacara Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa individu yang ditahan berhak untuk berunding dengan dan dibela oleh mana-mana pengamal undang-undang pilihannya (namun berdasarkan praktis, ini kebiasaannya seorang peguambela). Pengamal undang-undang tersebut itu harus dibenarkan untuk hadir dan berjumpa dengan individu yang ditahan sebelum pihak polis dapat menyoalnya atau merekodkan keterangan darinya.

  • Kanun Tatacara Jenayah juga memperuntukkan bahawa pihak polis harus memaklumkan (atau cuba memaklumkan) tentang lokasi tahanan kepada saudara atau kawan individu yang ditahan.

Penulis berharap agar para pembaca kini lebih maklum tentang hak-hak individu yang ditahan. Penulis juga memberi kata-kata peringatan untuk melantik dan mendapatkan nasihat khusus peguam jika telah ditahan (kerana nasihat yang akan diberi dan tindakan-tindakan yang perlu diambil bukanlah rutin, dan sememangnya berlainan berdasarkan fakta-fakta setiap kes).